• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Terengganu Fokus Tingkat Hasil Pendapatan Negeri

KUALA TERENGGANU, 17 Ogos – Kerajaan Negeri memberi fokus dalam usaha meningkatkan hasil pendapatan negeri bagi mengurangkan kebergantungan kepada petroleum.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sepanjang tempoh penggal yang lepas kerajaan negeri telah berjaya membuktikan pengurangan kebergantungan royalti tersebut.

Katanya, iaitu dengan berjaya mengurangkan sebanyak empat peratus.

“Pada kali ini kita akan mengurangkan dengan jumlah yang besar kebergantungan royalti.

"Iaitu dengan mengambil pelbagai pendekatan antaranya mewujudkan kawasan industri baharu dengan mengambil kira kewujudan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas selesai mesyuarat pertama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bertempat di U2, Wisma Darul Iman di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Tambah Ahmad Samsuri, pembangunan pusat perindustrian baharu terutama di utara Terengganu iaitu Besut dan Setiu secara tidak langsung dapat merancakkan lagi perkhidmatan kargo.

"Susulan itu, ia dapat mengubah wajah pembangunan ekonomi di dua daerah tersebut.

“Kita akan mengerahkan seluruh jentera supaya bergerak ke arah mewujudkan kawasan industri yang baharu untuk mengambil manfaat daripada kewujudan ECRL.

“Terutama di kawasan yang kurang diberi fokus sebelum ini seperti kawasan utara Terengganu iaitu Besut dan Setiu,” ujarnya.

 


Tag: