• 27 Sept 2022 | 1 Rabiul Awal 1444

Kerajaan Terengganu Lunas Elaun Imam, Bilal Dinafikan Hak

KUALA TERENGGANU, 14 September - Kebajikan imam dan bilal mukim di negeri ini yang dinafikan hak semasa pemerintahan kerajaan terdahulu terbela apabila kerajaan negeri meluluskan sejumlah peruntukan bermula tahun 2019.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada 11 November 2019 sebanyak RM2.9 juta peruntukan telah diluluskan kepada 42 orang imam dan bilal yang ditahan elaun bermula tahun 2005 sehingga tahun 2018.

“Alhamdulillah, pada hari ini kerajaan negeri telah meluluskan lagi peruntukan sebanyak RM242,925 kepada lima orang imam dan tujuh orang bilal yang tidak mendapat elaun mereka sepertimana yang biasa mereka perolehi, akibat daripada sebab-sebab tertentu termasuk apabila dilihat ada antara imam dan bilal ini mempunyai perbezaan pandangan politik ketika itu.

“Sesungguhnya Kerajaan Negeri sentiasa menjaga kebajikan iman dan bilal khasnya dan semua rakyat Terengganu amnya agar negeri ini sentiasa diberi kemajuan, keberkatan dan kesejahteraan oleh Allah SWT,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Elaun Tunggakan Imam Dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Wisma Darul iman, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri memberi peruntukan kewangan kepada 509 buah institusi masjid di negeri ini untuk melantik beberapa orang imam dan bilal bagi setiap masjid agar pentadbiran masjid berjalan dengan lebih sempurna.