• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Terengganu Tanggung Sewa 'Rumah Sementara' Mangsa Banjir

KUALA TERENGGANU, 29 Disember - Semua mangsa banjir di Kampung La, Hulu Besut yang hilang tempat tinggal akan diberikan penempatan sementara atau rumah sewa yang ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, seramai 53 mangsa melibatkan 12 keluarga kurang bernasib baik bakal menerima manfaat tersebut selepas proses penelitian dibuat.

Kataya, langkah itu sedang diambil dan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi meringankan beban golongan terbabit.

"Mesyuarat Exco semalam memutuskan Maidam perlu menyediakan penempatan sementara bagi 12 keluarga yang hilang tempat tinggal terbabit.

"Bayaran sewa untuk setiap rumah terlibat akan ditanggung Maidam selaku badan pelaksana kerajaan negeri," jelasnya.

Kata Hanafiah, Maidam juga akan berusaha membantu membina semula rumah baharu kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Terdahulu, media melaporkan sehingga jam 8 pagi ini seramai 53 mangsa membabitkan 12 keluarga masih berlindung di PPS di Besut kerana tiada tempah berteduh walaupun cuaca sudah baik.

“Difahamkan mangsa yang berada di PPS itu tidak dapat pulang selepas kediaman mereka roboh akibat banjir teruk yang melanda daerah itu,” ujarnya.