• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Kerajaan Terengganu Terus Bantu Peniaga Kecil

SETIU, 31 Mei - Kerajaan Terengganu memberi komitmen untuk sentiasa membantu golongan penjaja dan peniaga kecil agar terus menjadi antara penyumbang utama kepada pengukuhan dan kestabilan ekonomi negara.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Dun Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, ramai daripada golongan itu amat memerlukan bantuan kerajaan selepas terkesan dengan penularan Covid-19 dua tahun lepas, terutama mereka yang menjadikan peniagaan sebagai punca utama pendapatan.

Katanya, antara usaha yang dilakukan kerajajaan negeri ialah mengekalkan suntikan dana sebanyak RM50,000 kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Ini adalah satu peruntukan kerajaan Terengganu berbentuk geran kepada DUN untuk diberikan kepada usahawan yang layak pada kadar RM500 hingga RM1,000 seorang,"ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Program Dana Niaga dan Usahawan Negeri Terengganu (PUTERA) yang dibuat di Perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dun Batu Rakit Kampung Bukit Cempaka hari ini.

Shafizi berkata, berdasarkan kajian, sebanyak 90 peratus usahawan menyatakan hasrat untuk memulakan semula perniagaan yang terjejas akibat Covid-19, kajian itu juga mendapati usahawan memerlukan bantuan kerajaan dalam bentuk bantuan geran serta latihan dan bimbingan.

Halimatun Mohamad@Naib, 41 atau lebih mesra panggilan “Kak Ani” yang hampir tiga tahun terlibat dalam bisnes pembuatan satay ayam dan satay daging menzahirkan penghargaan terima kasih di atas inisiatif kerajaan negeri dalam memajukan perniagaanya.

"Saya banyak terima tempahan melalui kampus, sekolah, orang kampung, kawan-kawan dan saudara mara," katanya ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini.


Tag: