• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Kerajaan Tidak Halang Hiburan

Cikgu Wan Hapandi Wan Nik (tengah) turun padang melihat sambutan Karnival Ambang Maal Hijrah.
Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN - Kerajaan Negeri Terengganu tidak pernah sesekali menyekat mana-mana bentuk hiburan atau artis untuk membuat persembahan di negeri ini namun harus diingatkan agar sentiasa menjaga batas-batas syariat yang telah ditetapkan dalam Islam.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik berkata, kerajaan bahkan mengalu-alukan kedatangan artis ke Negeri Terengganu untuk membuat persembahan atau apa sahaja aktiviti.

"Namun haruslah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.

“Hiburan adalah suatu kelaziman bagi anak muda zaman sekarang namun kita yang perlu mengawal hiburan tersebut agar ia tidak melanggar batas batas agama.

“Itulah yang sedang kita tunjuk kepada rakyat bahawa kerajaan di bawah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bukanlah kerajaan yang jumud atau kolot yang tidak membenarkan sebarang hiburan diadakan.

"Hiburan juga dibenarkan di dalam Islam tetapi perlu berlandaskan hukum syarak," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu Karnival Ambang Hijrah 1440H di hadapan Masjid An Naim, Sura Jeti, Dungun, semalam (10 September).

Kumpulan nasyid terkenal tanah air, UNIC membuat persembahan dengan membawa beberapa lagu termasuk Zinnirah, Ainul Mardiah dan banyak lagi.

Kehadiran 200 orang pengunjung memeriahkan lagi sambutan karnival pada malam tersebut.

Karnival Ambang Hijrah 1440H yang bermula 9 September hingga 23 September 2018 akan menghimpunkan beberapa artis dan ikon tersohor tanah air bagi memeriahkan lagi program tersebut.

Selain itu, gerai-gerai jualan juga turut disediakan untuk para pengunjung membeli belah.

Tag: