• 24 Nov 2020 | 8 Rabiul Akhir 1442

Kerajaan Tidak Pernah Berhenti Bantu Rakyat

DUNGUN, 25 Oktober - Kerajaan Negeri dan Persekutuan tidak pernah berhenti membantu rakyat melalui pelbagai sektor.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, dalam bidang pertanian contohnya, kerajaan menyediakan Tabung Bencana Pertanian khusus untuk membantu para petani, nelayan dan penternak apabila ditimpa musibah. 

"Mudah kita sebut, kita tidak pernah berhenti cakna kepada masyarakat tani, nelayan dan penternak sepanjang tahun dan tidak bermusim," ujarnya.

Beliau ditemui wakil Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Program Penyerahan Alat Menangkap Ikan (Kawat Bubu) Kepada Nelayan Negeri Terengganu di Pengkalan Bot, Kampung Balik Bukit, di sini.

Seramai lapan orang nelayan bubu di Dungun telah menerima sebanyak dua gulung kawat bubu setiap seorang di dalam majlis yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali dan Ketua Daerah Perikanan Dungun, Maidatul Suhana Mohd.

Menurut Azman lagi, pihaknya sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan di musim tengkujuh yang bakal tiba nanti.

"Kita sememangnya 'reserve' daripada Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu untuk persiapan musim tengkujuh yang kebiasaannya sektor pertanian, perikanan, akuakultur, penternakan menghadapi banyak kerugian disebabkan perubahan cuaca. 

" InsyaAllah disamping bantuan - bantuan kerajaan negeri, kita juga berkabolarasi dengan kerajaan Persekutuan untuk menyantuni rakyat," jelasnya lagi. 


Tag: