• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Pembinaan Jambatan Baharu Marang Bermula Tahun Depan

MARANG, 7 Disember – Terengganu bakal memulakan projek pembinaan Jambatan Marang bagi mengelakkan masalah kesesakan, setelah usaha rundingan dengan Kerajaan Persekutuan membuahkan hasil.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, urusan di peringkat Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kewangan bagi projek jambatan yang dianggarkan bernilai RM400 juta itu telah selesai.

“Dokumentasi dan surat juga telah dihantar kepada syarikat yang dilantik bagi mengendalinya.

“Insya-Allah selewat-lewatnya Februari ketika musim monsun telah reda, kerja awal seperti pemecahan tanah boleh bermula.

“Kewujudan laluan ini amat penting bagi mengatasi kesesakan kenderaan kerana jambatan sedia ada ‘bottleneck’ daripada empat Lorong jadi sempit sedangkan ia adalah laluan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam merasmikan Jambatan Pulau Kekabu, di sini, pagi tadi.

Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa komited dan meneliti keperluan menaiktaraf jambatan baharu di laluan penting seperti jambatan Manir di Kuala Terengganu.

“Kami tidak nafikan laluan (jambatan Manir) itu penting, namun pihak kami menilai laluan mana memerlukan dan ingin didahulukan.

"Berbanding dengan jambatan baharu di Pulau Kekabu dengan kos RM1.38 juta, pelaksanaan projek bernilai ratusan juta perlu diperhalusi di peringkat negeri dan pusat,” katanya lagi.