• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Kerjasama Antara Agensi JENDELA Beri Manfaat Buat Penduduk Luar Bandar

HULU TERENGGANU, 8 Ogos –Kerajaan negeri berusaha meningkatkan jaringan internet di kawasan luar bandar dengan kerjasama inter-agensi bagi Projek JENDELA Fasa 1. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, kerjasama tersebut diadakan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Negeri Terengganu, Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu, Terengganu Telecommunications (TCOMM), pihak Bahagian 1 dan Bahagian 2  iaitu Theta Telcoms, FGV Prodata, Celcom Axiata dan Digi Telecommunications.

Katanya, sebanyak 55 daripada 66 tapak lokasi menara telekomunikasi telah menerima kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan dua tapak lokasi melibatkan tanah negeri telah mendapat kelulusan Kerajaan Negeri.

“Dalam pada itu, sebanyak 13 tapak menara di Hulu Terengganu telah mendapat kelulusan penuh Majlis Daerah Hulu Terengganu, dan kesemua menara ini dijangka dapat disiapkan pada pertengahan bulan September untuk diserahkan kepada pihak Bahagian 2.

 “Kerajaan Negeri Terengganu amat prihatin mengenai rintihan rakyat terhadap keperluan capaian internet yang telah pun direncanakan sebagai hak asasi manusia oleh pihak Kerajaan,” ujarnya selepas  menyaksikan serahan menara Projek JENDELA Fasa 1 di kampung Baru Tok Dor semalam.

 

Sementara itu, beliau berkata serahan menara Projek JENDELA Fasa 1 itu sepatutnya berlaku pada penghujung Oktober 2022 tetapi berjaya disiapkan tiga bulan lebih awal dari garis masa yang ditetapkan.

Menurutnya, kejayaan tersebut adalah hasil usaha sama dari pelbagai inter-agensi bagi memenuhi keperluan rakyat khususnya bagi aspek penyediaan kemudahan telekomunikasi.

“Dijangka banyak lagi menara akan disiapkan dan diserahkan kepada pihak Bahagian 2 bermula pada bulan September nanti.

“Saya berharap dengan serahan awal ini, lebih banyak menara JENDELA Fasa 1 boleh beroperasi pada penghujung tahun 2022 ini,” tambahnya.