• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kerjasama Kerajaan Dan Rakyat Penting Bina Terengganu Lebih Baik

Ahmad Samsuri menceduk kuah laksa kepada tetamu di Majlis Sambutan Hari Raya Perdana Peringkat Daerah Setiu di Dewan Majlis Daerah Setiu. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail
Seluruh rakyat negeri ini diharap memberi kerjasama utuh kepada kerajaan negeri agar usaha membina Terengganu yang lebih baik tercapai.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerjasama yang baik dan erat antara kepimpinan pentadbiran  kerajaan dan rakyat negeri ini sangat penting dalam merealisasikan pembangunan dan kemajuan negeri.

“Apa yang lepas, biar lepas. Sekarang ini, kita hendak bergerak ke hadapan. Kelemahan yang lepas kita cuba baiki termasuk sebagai kerajaan baharu, kita akan membaik pulih dan meningkatkan kesejahteraan penduduk kepada suatu tahap yang lebih cemerlang.

“Terengganu dikurniakan oleh Allah S.W.T sumber hasil bumi yang banyak dan sekiranya ianya dapat dimanfaatkan melalui kerjasama kerajaan dan rakyat , InsyaAllah kita mampu menjadi sebuah negeri yang lebih baik daripada yang ada sekarang ini,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Raya Perdana Peringkat Daerah Setiu di Dewan Majlis Daerah Setiu, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya serta Pegawai Daerah Setiu Rosdi Awang.

Di majlis itu, Ahmad Samsuri turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Petronas secara khususnya yang telah mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu program kemasyarakatan bukan sahaja di daerah Setiu bahkan di seluruh negeri ini.


Terdahulu, beliau turut menghadiri taklimat khas berkaitan projek-projek pembangunan dan permasalahan yang ada di Setiu menerusi penerangan yang diketuai oleh Rosli dan juga ketua-ketua jabatan daerah itu di Pejabat Daerah Setiu.

Tag: