• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kerjasama Kerajaan Negeri Dengan Pusat Demi Agama, Kebaikan Rakyat



Kerajaan negeri sekali lagi menegaskan komitmen untuk memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada Kerajaan Pusat bagi menjayakan sebarang program demi kebaikan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri sangat komited membantu Kerajaan Pusat terutama hal yang melibatkan agama Islam kerana itulah dasar utama perjuangan kerajaan negeri melalui wadah politik PAS sebelum memenangi pilihan raya umum, kini dan akan datang.

"Persefahaman yang dicadangkan seperti menyediakan ruang kerjasama bagi tahfiz-tahfiz kendalian atau yang diiktiraf oleh kerajaan negeri oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), pastinya akan membuka peluang baharu di bidang ini.

"Selain itu, kerajaan negeri mungkin boleh menawarkan tenaga bantuan bagi Jakim memantau pengusaha-pengusaha yang mendapat sijil halal, agar berterusan mematuhi piawaian Jakim, sekiranya Jakim mempunyai kekangan kakitangan,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Seluruh Malaysia mewakili Terengganu, di Kompleks Islam Putrajaya, semalam.

Persidangan yang diadakan buat kali kedua bagi tahun ini dan pertama selepas pertukaran kerajaan, dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr, Mujahid Yusof dan timbalannya, Fauziah Salleh.

Turut hadi, Ketua Pengarah Jakim Datuk Mohamad Nordin Ibrahim serta kakitangan Jakim yang berkaitan.

"Saya mewakili kerajaan negeri, merasa gembira apabila menteri mengesahkan Jakim tidak dihapuskan dan pusat-pusat tahfiz akan diperkasakan lagi, kami pegang janji Kerajaan Pusat ini,” kata beliau lagi.

Ketika ini, Terengganu hanya mempunyai sebuah tahfiz yang mengadakan kerjasama dengan Jakim iaitu Institut Pengajian Islam (INSPI)  Terengganu sejak 2011.

Mohd Nor juga berhasrat untuk menambah bilangan tahfiz-tahfiz menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jakim bagi memperkasakan institusi itu.

Dalam pertemuan lebih dua jam itu, Jakim juga memberi penjelasan berkenaan beberapa perkara lagi yang berkait dengan pentadbiran mereka seperti isu imam, bilal, guru takmir dan juga Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Dalam perkembangan lain, sebagai menyahut kesanggupan kerjasama dengan Kerajaan Pusat, Terengganu akan menjadi lokasi penganjuran seminar berkaitan bahaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu yang dianjurkan oleh Jakim pada Ahad 29 Julai ini.

Seramai lebih 200 orang dijangka hadir ke seminar sehari itu yang akan mengupas dan membincangkan mengenai ancaman dan juga penyelesaian masalah sosial ini.


Tag: