• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerjasama Kerajaan Terengganu, ATM Berkesan Tangani Banjir

KUALA NERUS, 6 Januari – Kerjasama antara Kerajaan Terengganu dan Angkatan Tentera Malaysia serta agensi penyelamat lain dalam melaksanakan operasi banjir di negeri ini cukup berkesan.

Mengakui perkara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri turut memaklumkan situasi banjir di Terengganu juga telah hampir pulih sepenuhnya.

“Koordinasi di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) peringkat daerah mahupun negeri antara ATM, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta setiap agensi turut berjalan dengan lancar.

“Gabungan aset-aset milik ATM dan setiap agensi juga amat membantu bagi memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat khususnya Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta mengagihkan makanan dan barang keperluan ke PPS serta kawasan yang terputus hubungan jalan darat.

“Biarpun situasi banjir di Terengganu hampir pulih sepenuhnya, komitmen ATM untuk terus bekerja rapat dengan Kerajaan Negeri serta setiap agensi berkepentingan tidak berganjak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media khas Op Murni ATM di Terengganu di Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Seri Pantai, Seberang Takir hari ini 

Jelasnya, kolaborasi antara pemimpin negeri dan agensi penyelamat amat membanggakan dalam mengharungi musim Monsun Timur Laut hasil daripada pengalaman negeri tersebut dalam bencana itu.

“Terengganu tiada sebarang masalah dalam perancangan atasi bencana, paling penting bagi kita supaya bantuan dan pembelaan sampai kepada rakyat,” katanya lagi.

Tambah Hishammudin, selain Terengganu terdapat sesetengah kawasan di negeri lain banjirnya juga telah surut dan sebahagian sungai mula menunjukkan trend penurunan.

"Biarpun ini perkembangan yang diharapkan, namun ATM memahami bahawa cabaran pasca banjir juga besar, sambil terus menumpukan terhadap operasi banjir di kawasan yang masih terjejas.

"Fokus ATM yang seterusnya ialah melaksanakan kerja pembersihan pasca banjir berskala besar di negeri-negeri yang terjejas, sama seperti di Terengganu ini," jelasnya.