• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kerjasama Rakyat Terengganu Penting Untuk Sifarkan COVID-19

KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Kerajaan dan agensi kesihatan memerlukan kerjasama daripada seluruh rakyat Terengganu untuk terus membasmi penularan COVID-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, berdasarkan situasi semasa, Terengganu berjaya mengurangkan kes tiga ke dua angka bermula 11 jun lalu.

Katanya, sebagaimana yang ditetapkan di peringkat MKN, Terengganu dijangka akan keluar dari fasa pertama pada 1 julai ini bagi memasuki fasa kedua dengan menyasarkan lebih banyak sektor ekonomi yang akan dibuka.

"Seluruh negara dikehendaki mencapai kurang daripada 4,000 kes, jika dibahagi mengikut kadar penduduk, Terengganu dikehendaki untuk mencapai kurang daripada 150 kes.

"Sejak daripada minggu lepas, kes di Terengganu kurang daripada 100 kes hasil daripada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa," jelasnya ketika bersiaran dalam segmen 'Berita Awok Kite' di Tv Darul Iman semalam.

Menurut Dr Alias, berdasarkan pematuhan SOP di Terengganu yang dimaklumkan oleh PDRM, Terengganu mencatat kadar pematuhan sebanyak 96 peratus.

"Kali ini kita agak 'straight' sikit, kepada yang degil, kita memang terpaksa mengambil tindakan supaya amalan ini tidak diikuti oleh orang lain.

"Hasil daripada kerjasama rakyat dan agensi penguatkuasa, kadar kebolehjangkitan (Rt) di Terengganu berada dalam paras terendah seluruh negara sehingga mencatat 0.68 semalam," ujarnya

Jelasnya, apabila kita semua mematuhi arahan dan peraturan SOP ini, kita dapat mengawal penularan dengan lebih baik.

 


Tag: