• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerjasama TSIS, UKM Dan UMT Hasilkan Tiga Karya Penyelidikan

KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Hasil kerjasama Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) bersama dua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah berjaya membuahkan tiga buku dalam memperkayakan lagi bidang penulisan dalam negeri.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antara buku yang telah dilancarkan seperti “Menelusuri Setiu Wetland Bersama Ayah Ku” penulisan Dr. Jarina Mohd Jani dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Dua lagi hasil penulisan antaranya bertajuk “Fiqh Siasah Abdul Hadi Awang Dalam Sosio-politik Malaysia & Antarabangsa” dan buku ketiga bertajuk “Sosiopolitik Islam” hasil penulisan Prof. Madya Dr. Latifah Abdul Majid serta ahli kumpulan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Tentunya semua penulisan dihasilkan daripada penyelidikan yang telah dijalankan tidak mudah untuk diterbitkan terutamanya bila berdepan dengan kekangan pandemik COVID-19.

“Sebagai negeri yang Maju Berkat dan Sejahtera, bukan sahaja maju dalam konteks teknologi dan pembangunan malah turut maju dalam membentuk peradaban masyarakat dan ketinggian ilmu dimiliki,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Buku Penyelidikan TSIS Dengan Kerjasama UMT & UKM 2021 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Turut hadir, Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Yahaya Ali, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Dr. Wan Mat Sulaiman berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri yang berminat menjalankan kajian dalam meningkatkan lagi pengurusan, penjanaan hasil dan sebagainya.

“Hari ini adalah hasil daripada geran yang diberikan TSIS kepada UKM dan UMT, sebanyak tiga buah buku dilancarkan.

“Pada tahun ini juga, TSIS telah menandatangani perjanjian penyelidikan dengan 13 pasukan penyelidik daripada pelbagai universiti awam.

“Minat daripada mereka amat tinggi, contohnya, apabila TSIS mewar-warkan geran kecil penyelidikan kita telah menerima 714 cadangan penyelidikan,” jelasnya.