• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Keropok Ikan Omaf Turun Harga

Nor Hasnaa Kamilah bersama produk keropok ikan berjenama OMAF keluaran syarikat miliknya Sempurna A-Nad Marketing,


Produk keropok ikan berjenama Omaf yang memulakan operasi pada 2015 mengambil langkah berani dengan menurunkan harga barang bagi kesemua pelbagai perisa produk keluaran syarikatnya bermula 1 September ini.

Pemilik syarikat Sempurna A-Nad Marketing, Nor Hasnaa Kamilah Mohd Dalim, 28, berkata keputusan menurunkan harga kesemua jenis produk sesuai dengan keadaan ekonomi semasa dan mengambil saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ingin rakyat supaya berjimat cermat.

Katanya, antara produk keluarannya yang mendapat sambutan ramai kini ditawarkan dengan harga baharu hanya RM1.50 sebungkus, berbanding harga runcit yang lama RM2.00.

"Pendekatan ‘win win situation’ ini juga bertujuan untuk menghargai pelanggan tetap yang menggemari produk keropok ikan kami. Saya harap dengan semangat dan pendekatan ini, pelanggan atau pengguna domestik terutamanya lebih mengutamakan dengan membeli produk tempatan yang terjamin kualiti dan kebersihannya.

"Kilang Anad Marketing juga telah mendapat pengiktirafan Sijil MeSTI (makanan selamat tanggungjawab industri) dan dalam proses pengiktirafan halal daripada JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia),"katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Nor Hasnaa berkata, kualiti keropok ikan pelbagai perisa yang dikeluarkan oleh syarikatnya adalah daripada isi ikan yang segar dan bahan-bahan yang berkualiti tinggi bagi memastikan produk berkenaan tidak mudah rosak dan tahan lama.

Katanya lagi, pada masa kini, beberapa barangan mentah yang diterima dari pembekal sudah semakin murah, sekali gus memberi kelegaan kepada sektor pembuatan seperti syarikatnya untuk meminimakan kos operasi syarikat.

"Tapi kena tunggu dan lihat beberapa hari lagi untuk lihat jumlah sebenar barangan yang turun harga selepas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula hari ini (1 September),"katanya.

Tag: