• 18 Jul 2024 | 11 Muharam 1446

Kerosakan Jambatan Dan Jalan Rosak Akibat Banjir Cecah RM21.5 Juta

HULU TERENGGANU, 11 Januari - Nilai kerosakan jambatan dan jalan di negeri ini akibat banjir besar luar jangka yang berlaku pada akhir tahun lepas mencecah RM21.5 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri, Dr Mamad Puteh berkata, dari jumlah tersebut, antaranya melibatkan pembinaan satu jambatan baru di Durian Mentangau, Dungun.

"Selain itu, jambatan baru juga perlu dibina di Pancur Merah, Permaisuri kerana culvert daripada besi atau kita panggil ‘Corrugated metal pipe’ telah rosak kerana usianya sudah lebih daripada 30 tahun.

"Di Kampung Subhanallah, Hulu Besut, sebuah jambatan telah mengalami kerosakan ‘embankment’ dan kos pembaikian tersebut kira-kira 600 ribu ringgit," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak jambatan yang rosak di daerah Dungun, Setiu dan Besut baru-baru ini.

Menurut beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, pembinaan jalan alternatif perlu disegerakan bagi memudahkan penduduk sekitar yang kebiasaanya menggunakan jambatan untuk urusan harian.

"Jadi, kita perlu segera untuk membina jambatan-jambatan baru dan juga pembinaan jalan-jalan sementara sebagai alternatif sebelum jambatan baru siap," tambahnya.


Tag: