• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerosakan 'Major' Paip Dikenalpasti, Proses Baiki Siap Mengikut Jadual

KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Syarikat Air Terengganu (SATU) telah melaksanakan strategi terbaik dalam membaiki kerosakan paip utama di dasar sungai yang rosak baru-baru ini selepas berjaya menemui punca utama perkara itu berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata, justeru kerja membaik pulih masalah itu dijangka dapat diselesaikan mengikut jadual.

Katanya, pada waktu ini segala peralatan berkaitan termasuk kren telah disediakan untuk memastikan bekalan air pulih seberapa segera.

"Juruselam telah mengenalpasti persekitaran tempat menjadi punca dengan lebih teliti dan hari ini insya-Allah  Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan turut membantu dengan peralatan lebih canggih. 

"Kita mengharapkan agar tidak akan berlaku sebarang kerumitan atau apa jua permasalahan akan dapat diselesaikan secepat mungkin, apabila selesai nanti ia akan melalui ujian ketahanan bagi melihat adakah masih menghadapi masalah di sepanjang kawasan tersebut," ujarnya.

Beliau berkata demikian ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika hadir di bilik operasi SATU di Losong Feri, pada hari ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah SATU, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun serta Pengarah Bahagian Operasi Wilayah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ir. Azrul Raimee Ramli.

Sementara itu,  Burhanuddin  meminta agar rakyat mendapatkan maklumat semasa melalui Facebook SATU.

"Kita berperanan membantu SATU bertindak sebagai 'Provide Leadership' dalam menghadapi perkara ini dan menyampaikan maklumat kepada rakyat.

"Kita akan maklumkan setiap masa lokasi tangki statik dan juga lokasi dimana 'tanker' kita berada dengan 100 tangki yang disediakan kita harap boleh meringankan beban dialami rakyat pada waktu ini.

"Kita juga akan sedaya upaya untuk memastikan tangki air berkenaan sentiasa diisi supaya penduduk tidak mengalami masalah, juga akan dipastikan surau dan masjid setempat akan mempunyai bekalan air agar boleh menjadi alternatif sekiranya air dalam tangki kehabisan," katanya.

Dalam pada itu Ir. Azrul pula berkata, pihaknya optimis dengan langkah yang telah dikenalpasti itu sebagimana dinyatakan oleh pihak kontraktor dijamin akan siap dalam jangka masa seminggu.

"SPAN sebagai badan kawal selia air akan memastikan SATU mengaktifkan 'emergency respon' untuk masa ini dengan mengambil tindakan wajar dan pantas untuk sementara waktu bagi memberikan bekalan air sementara.

"Saya mengharapkan agar pihak SATU memastikan ada alternatif lain kerja-kerja pembaikan ini dilakukan segera dan juga ada 'optional' lain untuk terus membekalkan air kepada akaun pengguna yang lebih kurang 28,000 dengan seberapa segera," ujar beliau.


Tag: