• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerugian Sektor Pertanian, Penternakan, Perikanan Lebih RM88 Juta

KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Sektor pertanian, penternakan dan perikanan di negeri ini mengalami kerugian lebih RM88 juta akibat bencana yang melanda pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim berkata jumlah tersebut melibatkan semua daerah dalam negeri ini.

Katanya, jumlah bagi keseluruhan petani, penternak dan nelayan yang mengalami kerugian pada tahun lalu adalah seramai 3,697 orang.

“Setakat rekod diterima dalam sektor pertanian adalah mengalami kerugian sekitar RM39.2 juta yang melibatkan seramai 2555 orang warga tani.

“Manakala bagi sektor penternakan pula jumlah kerugian adalah sebanyak RM3.4 juta dengan seramai 781 penternak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Sektor Pertanian Negeri Terengganu Tahun 2023 bertempat Dewan Permata, Permai Hotel di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Hilmi Harun.

Tambah Dr Azman, sektor perikanan pula mengalami kerugian melebihi RM6 juta yang melibatkan seramai 361 orang penternak akuakultur dan juga nelayan.

Justeru, jumlah kerugian sehingga hari ini melebihi RM 88 juta dengan seramai 3697 orang warga tani, penternak dan nelayan yang terlibat dalam sektor pertanian dan terkesan dengan banjir pada baru-baru ini.

Untuk makluman, sektor pertanian dan perikanan di negeri ini kerugian kira-kira RM49.6 juta akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL), pertengahan bulan lalu.

  

 


Tag: