• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerusi DUN Ajil, Maliaman Yakin Peroleh Undi Majoriti Lebih Besar

HULU TERENGGANU, 6 Ogos - Calon PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 15 (PRN DUN Ke 15 ), Maliaman Kassin yakin mampu mendapat majoriti yang lebih tinggi berbanding PRU14 lalu.

Beliau yang juga Mantan Pegawai Pendidikan memperoleh 8,132 undian ketika menentang Ghazali Taib daripada parti Barisan Nasional yang mendapat 8,128 undi dengan perbezaan majoriti empat undi sementara calon PKR, Zamani Mamat sekadar mendapat 679 undi.

“Kita dah ada ‘fixed deposit’  sebanyak empat undi dan bergerak sejak kemenangan pada PRU14  lagi untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Masyarakat dah melihat bagaimana khidmat sepanjang satu penggal dan  kita juga berlaku adil tanpa mengira status politik dari sudut agihan bantuan, khidmat bakti masa Covid-19 dan lain-lain gerak kerja ketika bergelar wakil rakyat.

“Saya dapat lihat penerimaan rakyat diterjemahkan pada PRU15 baru ni di atas kertas undi yang mana di DUN Ajil sahaja kita dapat kemenangan untuk Ahli Parlimen Datuk Rosol Wahid yang bertanding atas tiket PAS lebih kurang 4,500 majoriti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambahnya, keputusan PRU15 adalah bukti penerimaan rakyat kepada PAS dan perubahan itu tidak boleh diabaikan pada PRN DUN kali ini.

“Untuk PRN akan datang, kita harap momentum ataupun 'mood' pengundi itu  masih lagi kekal dan mengharapkan pengundi luar khususnya  akan balik mengundi.

“Apapun, kita letakkan sandaran kepada Allah Taala... Insya-Allah lagipun kami bukan ego, yakin seratus peratus… tidak sebab kenyakinan ini berdasarkan takdir Allah Taala.

“Sasaran asasnya kita nak mengekalkan kemenangan PAS di DUN Ajil selain menambah jumlah majoriti berdasarkan gerak kerja parti, masalah yang berlaku pada parti lawan, diharapkan kemenangan memihak pada PAS,” ujarnya.

Kerusi DUN Ajil menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili bekas timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari serta penyandang kerusi tersebut daripada PAS, Maliaman Kassim dalam PRN DUN pada 12 Ogos depan.