• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kes Cabar Undang-undang Syariah : Seruan Untuk Semua Pihak Daulatkan Islam

Merujuk kepada kes Nik Elin Zurina melawan Kerajaan Negeri Kelantan, saya menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang menyatakan bahawa usaha untuk memartabatkan undang-undang syariah sebagai tanggungjawab bersama semua pihak. 

Untuk makluman, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebagai salah satu badan berkaitan agama Islam di negeri Terengganu telah diterima untuk menjadi peguam pemerhati atau ‘watching brief’ kepada prosiding kes ini.

Kerajaan Negeri Terengganu mengambil berat akan kes ini, memandangkan keputusan mahkamah akan turut memberi kesan domino kepada Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Terengganu yang turut mengandungi kesalahan-kesalahan yang sama seperti yang dicabar oleh pihak pemohon.

Dalam pada itu, saya melihat bahawa implikasi kes ini bukan semata-mata akan menjejaskan keabsahan EKJS, tetapi akan turut menyentuh isu kedaulatan agama Islam di negara ini.

Islam telah lama diamalkan di Tanah Melayu termasuklah pemakaiannya di dalam undang-undang jenayah.

Keterangan dalam Batu Bersurat mengenai hukuman bagi kesalahan zina misalnya membuktikan bahawa negeri Terengganu telah mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh berabad lamanya.

Hal ini jelas membuktikan bahawa perundangan Islam adalah sebahagian daripada perundangan di Malaysia.

Kedudukan ini telah diiktiraf dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ketika mana ia digubal di mana Islam telah diangkat menjadi agama persekutuan dan bidang kuasa bagi hukum syarak dikekalkan kepada sultan dan raja pemerintah di negeri-negeri. 

Selama 66 tahun negara kita merdeka, struktur dalam Perlembagaan ini telah diterima dan diguna pakai, malah turut ditambah baik dengan memasukkan Perkara 121(1A) yang mengangkat kedudukan Mahkamah Syariah. 

Namun begitu, semua yang telah kita bina ini, akan runtuh satu persatu sekiranya trend kes mahkamah yang mencabar bidang kuasa negeri ini dibiarkan berterusan tanpa apa-apa tindakan daripada pihak yang mempunyai kuasa.

Di peringkat kerajaan negeri, kami bersedia memainkan peranan untuk melindungi kedudukan dan martabat perundangan Islam yang telah dipertahankan oleh pejuang kemerdekaan sejak dahulu lagi.

Pada masa yang sama, saya mengharapkan adanya perancangan segera di pihak kerajaan persekutuan bagi mengemukakan penyelesaian terhadap situasi yang semakin meruncing ini sebelum keadaan menjadi semakin rumit dan tidak lagi boleh dibaiki. 

Saya juga berharap agar panel hakim di Mahkamah Persekutuan kali ini dapat mengambil peluang ini untuk melihat dan menyemak kembali keputusan-keputusan mahkamah terdahulu yang tidak mengangkat kedudukan Islam dalam sistem perundangan negara kepada martabat yang sepatutnya. 

YB Dr. Muhammad Khalil bin Abdul Hadi,
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Kerajaan Negeri Terengganu.
18 Ogos 2023 | 2 Safar 1445 H


Tag: