• 24 Nov 2020 | 8 Rabiul Akhir 1442

Kes Demam Denggi Di Terengganu Meningkat Pasca PKPB

KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Sebanyak 84 kes demam denggi telah didaftarkan di Terengganu dengan peningkatan ketara dapat dilihat bermula awal Mei sehingga 6 Jun sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga 6 Jun.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia berikutan terdapat peningkatan pergerakan di kalangan masyarakat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menggantikan PKP.

Katanya, sehingga 6 Jun lalu, kejadian kes denggi di negeri Terengganu adalah sebanyak 176 kes berbanding 318 kes pada tahun 2019 dalam tempoh yang sama dengan penurunan sebanyak 44.5% (142 kes).

"Berbanding tahun lepas, kes denggi menunjukkan penurunan. Namun terdapat kenaikan pada graf kes bermula awal tahun ini terutama selepas PKP berakhir dan digantikan dengan PKPB.
"Memandangkan fasa PKPB telah beralih ke fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), akan terdapat lebih banyak pergerakan di kalangan masyarakat dan kebarangkalian untuk dijangkiti denggi akan meningkat," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tinjauan ke lokaliti wabak di Lorong Seri Tanjung, Kuala Terengganu di sini hari ini.

Menurutnya, daerah yang mencatatkan bilangan kes denggi tertinggi merupakan daerah Kuala Terengganu (99 kes) diikuti dengan daerah Kemaman (19 kes), Kuala Nerus (17 kes), Besut (14 kes), Dungun (11 kes), Marang (8 kes), Hulu Terengganu (5 kes) dan Setiu (3 kes).
Semua daerah menunjukkan penurunan kes kecuali daerah Kemaman yang menunjukkan peningkatan kes berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019. Sehingga 6 Jun 2020, tiada kes kematian denggi yang dilaporkan di negeri Terengganu.

Sehingga 6 Jun 2020, beliau memaklumkan, sebanyak tiga belas (13) episod wabak telah berlaku di negeri Terengganu iaitu sepuluh (10) episod di daerah Kuala Terengganu, dua (2) episod di daerah Hulu Terengganu dan satu (1) episod di daerah Kuala Nerus.

Bagaimanapun semua wabak merupakan wabak terkawal dengan lima (5) episod wabak masih aktif dan semua wabak aktif tersebut adalah di daerah Kuala Terengganu.

Justeru katanya, orang ramai diingatkan supaya mengambil langkah-langkah pencegahan demam denggi.

"Saya ingatkan semua bahawa 'vaksin' utama denggi adalah memperkasakan tingkah laku masyarakat menjaga kebersihan rumah masing-masing. Amalkan gotong-royong kendiri di samping mematuhi Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Luangkan masa 10 minit setiap minggu untuk aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes (bekas menakung air) di dalam dan di luar rumah masing-masing serta di tempat kerja jika anda sudah kembali bertugas.

"Dan juga rumah-rumah yang telah lama ditinggalkan kerana PKP perlu dibersihkan dengan segera kerana boleh menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes jika terdapat bekas-bekas yang menakung air," tegasnya.