• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Kes Denggi Besut Turun Mendadak Tahun Ini

Dr Alias (tengah) melawat pameran sempena Majlis Penutup HOPE di Pulau Perhentian Kecil, Besut. Foto oleh - Pok Abas
BESUT, 12 September – Kes demam denggi di daerah Besut menurun secara drastik sebanyak 80.2 peratus tahun ini berbanding tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata, sehingga semalam kes denggi menurun kepada 22 kes berbanding 111 tahun lepas.

Beliau menjelaskan bahawa ia satu kejayaan membanggakan dan prestasi itu perlu mencapai tahap lebih baik di masa akan datang.
Dr Alias (tengah) menerima buku cenderamata dari pengajur setibanya di Jeti Pulau Perhentian Kecil, Besut semalam.
Katanya, ia juga perlu diikuti oleh tujuh daerah lain di negeri ini dengan pelbagai cara termasuk mengadakan gotong royong setiap minggu di Kawasan-kawasan Keutamaan 1 Denggi, kerjasama antara Pejabat Kesihatan Daerah, Majlis Daerah serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan penduduk setempat.

Dr Alias berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Projek Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility) Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh, Selangor di Pulau Perhentian Kecil di sini semalam.
Dr Alias Razak.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, di Daerah Besut, pemantauan kendiri (Search and Destroy) dilaksanakan selama 10 minit, diperingatkan melalui edaran aplikasi whatsapp atau facebook setiap minggu secara berterusan.

“Turut juga dilaksanakan hebahan awam bergerak di kawasan keutamaan 1 terutama musim perayaan dan cuti sekolah, ceramah denggi di masjid-masjid atau sekolah-sekolah di kawasan keutamaan 1 dan aktiviti kawalan denggi yang konsisten dan diselia oleh penyelia khusus untuk wabak berkenaan.

“Dan yang dimaksudkan kawasan keutama itu ialah apabila sesuatu lokaliti pernah ada salah satu kejadian dalam masa enam bulan termasuk kematian denggi, wabak denggi, kekerapan berlaku kes denggi setiap dua minggu sekali dan bacaan indeks nyamuk aedes yang tinggi (Aedes Index AI > 1, Bruteau Index > 5),” jelas beliau.
 
Pemantauan Kendiri (Search and Destroy) dilaksanakan selama 10 minit.
Sementara itu ketika berucap di majlis penutup Prestasi Kesihatan Persekitaran (Health Of Precious Environment - HOPE) itu beliau mengucapkan tahniah kepada pejabat kesihatan dan penduduk daerah itu kerana berusaha mengawal penyakit berkenaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau juga menyeru penduduk setempat terus aktif menjaga kebersihan persekitaran rumah agar kes itu tidak mengancam kesihatan dan nyawa mereka.

"Bila kebersihan persekitaran dijaga dengan membasmi kawasan pembiakan nyamuk aedes maka kes demam denggi menurun dengan mendadak.

"Besut telah melaksanakan gotong royong secara besar-besaran selepas berlaku dua kes kematian akibat denggi hujung tahun lepas," katanya.

Tag: