• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kesan Strok Haba Kepada Manusia

KUALA TERENGGANU, 2 Mei – Strok haba berlaku apabila badan seseorang itu kekurangan air hingga suhu di dalam badan meningkat menyebabkan individu terbabit berpeluh lebih daripada biasa.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Noriah Mahmud berkata sekiranya pendedahan badan kepada cuaca terlalu panas ia menyebabkan kehilangan air badan yang banyak.

Maka katanya, ia boleh mengakibatkan kesan yang buruk seperti kekejangan otot, kelelahan dan peringkat yang lebih teruk apabila sistem badan sendiri gagal mengawal suhu badan.

“Justeru, berlaku peningkatan badan yang sangat tinggi sehingga terjadinya strok haba.

“Strok haba merupakan satu keadaan kecemasan yang perlu dirawat dengan segera bagi mengelakkan sebarang kemungkinan sehingga boleh menyebabkan kematian,” katanya ketika ditemubual oleh Terengganu FM pada hari ini.

Dalam pada itu ujar Dr Noriah, antara gejala dan simptom strok haba adalah suhu badan tinggi iaitu suhu badan teras 104'F (40'C) atau lebih tinggi, yang diperoleh dengan termometer rektum, adalah tanda utama strok haba.

"Keadaan mental atau tingkah laku yang berubah seperti kekeliruan, kegelisahan, ucapan yang tidak jelas, kerengsaan, kecemasan, kejang dan koma semuanya boleh disebabkan oleh penyakit panas.

"Seterusnya, perubahan pada pola peluh disebabkan oleh cuaca panas menyebabkan kulit terasa panas dan kering dengan sentuhan," jelasnya.

Menurut beliau lagi, kadar jantung pantas juga boleh berlaku disebabkan denyutan nadi yang meningkat dengan ketara kerana tekanan haba.

Ujarnya, strok haba boleh diramal dan icegah melalui langkah yang telah diwawarkan dan ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Malaysia (JKM) dengan mengurangkan aktiviti luar rumah ketika suhu panas.

"Selain itu, pakai baju longgar dan pakaian ringan kerana apabila pakaian ketat tidak akan membenarkan tubuh anda menjadi sejuk dengan effisien.

"Di samping, minum banyak air supaya anda kekal terhidrat dan menstabilkan suhu tubuh yang normal.

"Serta melindungi diri daripada selaran matahari kerana selaran matahari menjejaskan keupayaan tubuh untuk menyejukkan diri dan pelbagai lagi langkah-langkah yang perlu bagi mengelakkan diri dari terkena strok haba," tambah beliau.

 


Tag: