• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kesedaran Politik Datang Dari Rumah – Abdul Hadi

KUALA TERENGGANU, 7 Mei – Ibu bapa perlu memainkan peranan utama dalam memberi pendedahan politik kepada anak-anak mereka sejak dari rumah.

Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang menegaskan kesedaran politik anak muda perlu diberi penekanan oleh semua pihak dalam menentukan pentadbiran sesebuah negara atau negeri.

“Peranan ibu bapa adalah memberi kefahaman serta kesedaran politik kepada anak-anak.

“Nabi Muhammad berhijrah dari mekah ke Madinah untuk menegakkan politik Islam, namun hari ini umat islam sendiri menganggap politik suatu yang tidak penting.

“Maka menjadi suatu bencana apabila pentadbiran negara didominasi oleh orang bukan Islam dan golongan liberal,” katanya dalam ucapan Majlis Ramah Mesra Bersama Perantau anjuran Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Terengganu di Taman Tamadun Islam di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Haji Husain Awang dan Presiden Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU), Dr Nuri Al Amin Endut.

Beliau yang juga Presiden PAS dan Ahli Parlimen Marang turut mengingatkan agar umat Islam bersatu dalam menyokong agenda Islam walaupun bidang kuasa negeri terhad.

“PAS mengambil pendekatan ajaran nabi Muhammad menyatukan muhajirin-ansar dan mengajak bukan Muslim yang tidak ekstrem untuk menguatkan perjuangan.

“Model yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad itu jelas, maka tugas kita adalah mengikut jejak langkah Baginda,” ujarnya lagi.

 


Tag: