lightning-solid
Berita :
Keselamatan, Integriti dan Pendidikan Negara Antara Fokus Perbahasan Ahli Parlimen Besut
Keselamatan, Integriti dan Pendidikan Negara Antara Fokus Perbahasan Ahli Parlimen Besut
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
1 hari yang lepas
49

KUALA LUMPUR, 29 Januari - Ahli Parlimen Besut membangkitkan empat isu utama melibatkan keselamatan rakyat, rasuah, dasar pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan 3R ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas isu pembangunan dan keselamatan rakyat, beliau menegaskan projek pemeliharaan Sungai Besut, khususnya di Bandar Jertih, perlu diberi keutamaan segera kerana kawasan itu sering berdepan banjir berulang yang menjejaskan keselamatan, ekonomi dan kualiti hidup penduduk.

“Projek pemeliharaan Sungai Besut ini bukanlah projek kosmetik. Ia merupakan projek keselamatan,” katanya.

Menurut beliau, rakyat Besut telah terlalu lama menunggu tanpa kepastian jelas mengenai status kelulusan dan pelaksanaan projek tersebut, sekali gus menyebabkan risiko banjir terus berulang dari tahun ke tahun.

Dalam isu rasuah pula, Che Mohamad Zulkifly mempersoalkan kesungguhan kerajaan menterjemahkan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan siasatan dijalankan secara cepat, tegas dan tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Beliau merujuk secara khusus kepada kes Farhash, bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, yang melibatkan transaksi kewangan berskala besar dan menjadi perhatian rakyat.

“Jika hendak menyiasat, siasatlah dengan betul-betul dan menyeluruh, bukan secara sekerat jalan,” tegasnya.

Beliau berkata, layanan berbeza dalam kes berprofil tinggi hanya akan menimbulkan persepsi negatif dan menghakis keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan memerangi rasuah.

Menyentuh isu pendidikan, beliau menegaskan pemerkasaan pendidikan negara mestilah berpaksikan Dasar Pendidikan Kebangsaan, selaras dengan titah Diraja, khususnya dalam menangani desakan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

“Jika akhirnya kita tunduk dengan mengiktiraf UEC ini, bermakna kita membenarkan kewujudan dua sistem pendidikan yang saling bercanggah,” katanya.

Menurut beliau, pengiktirafan terhadap sistem yang berada di luar aliran pendidikan kebangsaan akan melemahkan peranan pendidikan sebagai medium pembinaan bangsa dan integrasi nasional.

Sementara itu, berhubung isu 3R, Ahli Parlimen Besut membangkitkan perbezaan layanan yang ketara dalam penguatkuasaan undang-undang apabila melibatkan kes sensitiviti kaum dan agama.

Beliau membandingkan tindakan tegas terhadap sebuah stesen radio dengan reaksi berbeza dalam kes seorang wartawan yang dilaporkan memburukkan imej Malaysia di luar negara.

“Di manakah pembela-pembela ini apabila aktivis lain ditahan di bawah akta yang sama?,” soalnya.

Beliau menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang mestilah adil, konsisten dan tidak bersifat pilih kasih, selaras dengan titah Diraja demi memelihara keharmonian masyarakat dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.




Tag :

Artikel Berkaitan