KUALA TERENGGANU, 17 Mac – Kumpulan EPIC Berhad, anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu menyerahkan zakat korporat berjumlah RM3.3 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat dalam menunaikan tanggungjawab zakat perniagaan selain membantu memperkukuh peranan institusi zakat dalam membantu golongan yang memerlukan.
Sepanjang tempoh Oktober 2025 hingga Mac 2026, MAIDAM menerima keseluruhan RM12,112,711.35 daripada 56 buah syarikat yang menunaikan zakat perniagaan.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembayaran zakat oleh syarikat dan anak syarikat kerajaan negeri membuktikan bahawa keuntungan yang dicapai bukan sahaja memberi manfaat kepada organisasi, malah turut dikongsi bersama masyarakat.
“Alhamdulillah, inilah yang sering saya sebutkan. Apabila syarikat atau anak-anak syarikat Kerajaan Negeri mencatat keuntungan, manfaatnya turut dirasai oleh masyarakat sama ada melalui pembayaran zakat mahupun pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua anak syarikat yang berjaya menunaikan kewajipan zakat perniagaan tersebut.
“Semoga zakat yang disumbangkan menjadi benih kebaikan, menyuburkan kasih sayang dalam masyarakat serta membawa keberkatan daripada Allah SWT,” ujarnya.
Tag :