• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kesesakan Lalu Lintas Disebabkan Sambut Merdeka Tidak Benar - Polis

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Ketua Polis negeri, Dato' Rohaimi Md Isa menafikan bahawa video tular di media sosial berlakunya kesesakan lalu lintas seolah-olah ada pesta menyambut Hari Kebangsaan pada malam semalam adalah tidak benar.

Katanya, apa yang disebarkan itu merupakan video lama pada tahun-tahun sebelumnya.

"Sebenarnya sedikit kesesakan yang berlaku adalah disebabkan penutupan jalan di kawasan Batu Burok, yang menyebabkan kenderaan berpatah balik dan menuju ke laluan 'Drawbridge'.

"Untuk makluman orang ramai, sempena ambang Merdeka 2021, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengenalpasti lokasi berkenaan sebagai salah satu lokasi yang bakal menarik perhatian orang ramai untuk apa jua acara dan tumpuan, justeru pemantauan telah dilakukan.

"Pasukan pemantau dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu termasuk kereta peronda polis (MPV) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu telah bertugas di kedua-kedua kawasan (Drawbride dan Batu Burok) bermula pada sebelah petang semalam sehingga lewat malam tadi," ujarnya melalui suatu kenyataan rasminya.

Mengulas lanjut katanya, kedua-dua kawasan terbabit adalah sangat terkawal dan tenang tanpa berlaku sebarang aktiviti berkumpulan selepas jam 10.30 malam sebagaimana yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab serta mahukan publisiti semata-mata.

"PDRM menegaskan kepada orang ramai agar lebih bertanggungjawab dan tidak berkongsi atau menyebarkan maklumat yang tidak benar di media sosial.

"Kesalahan seperti ini boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM 50,000 atau penjara tidak lebih (1) tahun atau kedua-duanya sekali," tegasnya.


Tag: