• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kesesakan Penjara Diatasi Elak Penularan Jangkitan Covid-19

Oleh : Afiq Fahmi

DUNGUN, 6 Oktober- Kerajaan Malaysia sedang memperincikan beberapa tindakan berkaitan bagi mengurangkan kesesakan dalam penjara sebagai langkah untuk mengurangkan penularan wabak Covid-19 di seluruh institusi tersebut.

Antara langkah diambil ialah memindahkan banduan dari penjara yang sudah padat penghuninya kepada yang tidak sesak

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, pihaknya difahamkan Jabatan Penjara Malaysia dengan sokongan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga telah mewujudkan penjara sementara.

"Sebanyak 13 bekas Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah diubahsuai sebagai penjara satelit untuk penempatan banduan yang baharu untuk tujuan pengasingan sebelum dimasukkan ke penjara, selain turut mewujudkan Pusat Transit Penerimaan (PTP).

"Bagi menempatkan banduan sabitan dan reman kategori risiko keselamatan minimun dengan mengambil kira keperluan pengasingan berdasarkan tarikh-tarikh kemasukan," ujarnya.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan medianya, setelah menerima jawapan daripada Timbalan Menteri I, KDN, Dato' Sri Dr. Ismail Mohamed Said, di Persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Dimana Wan Hassan mengemukakan soalan apakah rancangan KDN dalam menyelesaikan masalah kesesakan penjara pada waktu ini berikutan penularan Covid-19 berlaku secara pantas di kalangan banduan.

Mengulas lanjut berkenaan tindakan mengasingkan banduan berkenaan ia selaras dengan hala tuju Jabatan Penjara Malaysia dimana dua pertigas banduan sabitan tertentu akan menjalani latihan di luar tembok institusi terbabit atau pemulihan dalam komuniti (PDK).

"Melalui pelaksanaan dan pemerkasaan seperti pelepasan secara perintah parol, kehadiran wajib, pelepasan awal 14 hari menjadi keistimewaan bagi banduan peringkat khas ini.

"Kita mengalu-alukan tindakan kementerian yang prihatin kepada nasib banduan dalam tempoh mereka menjalani hukuman. Kita berharap langkah-langkah yang dibuat ini akan mengekang penularan jangkitan berbahaya kepada para banduan dan kakitangan penjara sendiri," katanya.

Untuk rekod statistik Jabatan Penjara Malaysia sehingga 25 Ogos 2021 menunjukkan jumlah keseluruhan banduan di penjara adalah seramai 69,507 orang yang mana melebihi kapasiti sebenar 61,242 pada kadar 13.50 peratus bersamaan melebihi kapasiti sejumlah 8,265.


Tag: