• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Kesusahan Keluarga Autisme Akan Diringankan - ADUN Wanita

Zuraida (berdiri paling kanan) berkongsi cerita bersama anak-anak autisme.
Oleh: Aslam Wira

RAWANG, 18 Februari - Kerajaan Terengganu akan memberi perhatian serius terhadap keperitan yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga anak-anak autisme.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata, kebanyakan ibu bapa berdepan dengan masalah emosi untuk menguruskan anak-anak yang mengalami autisme.

Ujarnya, ada beberapa kes melibatkan ibu bapa atau penjaga terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak autisme, malah ada yang mengalami masalah depresi dan kemurungan.

"Ada di kalangan mereka yang berkerja dalam bidang profesional seperti doktor, peguam, dan jurutera mengalami masalah dalam kes ini.

"Mereka ini adalah penyumbang kepada kerajaan negeri dan perlu dibantu dengan penyediaan pusat terapi yang bakal diwujudkan di Terengganu supaya kepakaran mereka tidak sia-sia begitu sahaja," katanya.


Beliau berkata demikian ketika sesi lawatan ke pusat terapi autisme di tiga buah tempat berasingan di Setia Alam, Selayang dan Rawang, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu, Zuhaimi Omar.

Menurutnya lagi, JKM telah mengumpulkan data terkini mengenai keluarga autisme dan kerajaan negeri sangat mengharapkan kerjasama yang erat daripada masyarakat.

"Kita juga dalam proses mewujudkan satu modul khas yang baik di pusat terapi untuk anak-anak autisme ini dengan sokongan kumpulan yang mempunyai kepakaran.

"Impian ini akan dijalankan di peringkat negeri Terengganu dan dalam masa terdekat pusat ini dijangka akan bertempat di Kuala Terengganu," tambahnya.


Tag: