Ketengah Bantu 500 Keluarga Terjejas COVID-19

DUNGUN, 6 November - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) melalui anak
syarikatnya Ketengah Holding Sdn. Bhd. (KHSB) memperuntukan RM338,700 bagi menyalurkan bantuan kepada 500 keluarga yang terjejas akibat wabak pandemik COVID-19.

Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata penerima-penerima ini melibatkan Mukim Rasau, Dungun dan kampung tradisi dalam Wilayah Ketengah.

Jelas beliau, sebagai contoh, Mukim Rasau Dungun yang merupakan salah sebuah kawasan yang mempunyai kes positif COVID-19 bagi gelombang ketiga terpilih untuk bantuan kali ini.

"Melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini, setiap keluarga menerima bantuan berupa barang keperluan asas yang dihantar ke beberapa lokasi berhampiran.

"Ia bagi memudahkan proses pengagihan kepada keluarga yang terlibat melalui Pihak Berkuasa Tempatan dan pemimpin setempat bagi mengelak penerima keluar rumah.

"Bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga yang terjejas punca pendapatannya selain  membantu usaha kerajaan bagi memastikan masyarakat sentiasa tetap berada di rumah untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19 ini demi keselamatan bersama," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu pada gelombang pertama penularan COVID-19 melanda negara, seramai 86 orang pengusaha sektor pelancongan telah dibantu Ketengah dengan peruntukan sebanyak RM152,700.

Manakala KHSB turut menyalurkan RM70,000 kepada Tabung Bantuan COVID-19 Terengganu bagi agihan secara menyeluruh di negeri Terengganu.