• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KETENGAH Hasilkan Makanan 4,000 Tan Setahun

DUNGUN, 24 Julai –Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) berupaya menghasilkan hampir empat ribu tan pengeluaran makanan setahun yang diperlukan pada masa kini.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata ia bagi menyokong strategi jaminan keselamatan makanan untuk negara.

"Sasaran pengeluaran makanan tersebut meliputi hasil tanaman, ternakan dan akuakultur memandangkan agensi ini diberi kuasa untuk menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial meliputi pedalaman Daerah Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

“Seramai 508 usahawan tani meliputi 269 usahawan mengusahakan tanaman, 169 usahawan ternakan dan 70 usahawan akuakultur dalam kawasan Ketengah terlibat dalam pengeluaran makanan itu,“katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang  2021 Ketengah di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 29 orang warga KETENGAH dipilih menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun ini.

Tambahnya,  ladang ayam pedaging yang diusahakan di bawah syarikat peneraju mampu untuk menghasilkan 790 ribu ekor ayam setahun dan menyumbang kepada 4.64 peratus daripada pengeluaran negeri iaitu sebanyak 17 juta tan per tahun.

"KETENGAH juga sedang dalam proses untuk menyalurkan bantuan bagi penambahan reban ayam di Kampung Chemuak, Kampung Durian Mentangau dan Seri Bandi yang mampu menambah pengeluaran ayam sebanyak 246 ribu ekor setahun menjadikan keseluruhan sebanyak 1.03 juta ekor ayam setahun. 

"Sementara itu, ternakan ruminan seperti lembu pula mampu menghasilkan 850 ekor menyamai  33.4 tan setiap tahun manakala kambing dan kerbau masing-masing menyumbang pengeluaran sebanyak 200 ekor (0.45 tan setahun) dan 1200 ekor (5.25 tan setahun),"ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Abdul Rahman juga berkata, satu peruntukan dalam Rolling Plan RMK-12 akan dipohon oleh KETENGAH bagi tujuan penyelidikan dan pembanguna.

"Ia bertujuan untuk meningkatkan lagi hasil pengeluaran makanan bagi menampung keperluan yang semakin meningkat dalam negara,"tambahnya.