• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

KETENGAH, Muafakat Sejahtera Sumbang 300 Bakul Makanan Kepada Asnaf Kijal

KEMAMAN, 4 April - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bersama sebuah badan bukan kerajaan, Muafakat Sejahtera menyumbang sebanyak 300 bakul makanan kepada golongan asnaf di kawasan Kijal.

Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata, selain membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan, program tersebut bertujuan mengeratkan hubungan antara pegawai Ketengah dengan masyarakat di dalam wilayahnya.

"Salah satu tujuan program sebegini diadakan adalah untuk merapatkan jurang yang ada diantara Ketengah, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan masyarakat didalam wilayah Ketengah.

"Selain daripada membantu golongan asnaf dan mereka yang berpendapatan rendah ianya juga memberi peluang untuk kita mendengar degup jantung, keluhan dan masalah yang ada disekitar mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Cakne Komuniti Wilayah Ketengah Bersama Maufakat Sejahtera di Dewan Orang Ramai Seri Bandi, baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn. Bhd, Mohd Zaid Sulaiman serta Penghulu Kanan Kemaman, Mohd Zazarin Abdul Ghani.

Katanya, pelbagai pengisian diadakan antaranya aktiviti gotong-royong kawasan perkuburan, sumbangan kepada penduduk yang kurang berkemampuan, ziarah penduduk yang ditimpa penyakit kronik dan acara sukan, selain pemeriksaan kesihatan turut dijalankan secara percuma oleh PAPISMA.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang turut berucap di majlis tersebut menyeru agar rakyat terus memberi sokongan kepada kerajaan.

"Saya menyeru dan mengharapkan agar hadirin yang ada ini dan masyarakat yang diluar sana agar terus memberi sokongan kepada kerajaan yang ada pada hari ini.

"Kepimpinan yang ada sekarang samada pada kerajaan negeri maupun kerajaan persekutuan perlu dikekalkan memandangkan prestasi mereka sangat cemerlang dengan pelbagai bantuan yang dikecapi rakyat sekarang," katanya.

Beliau juga berharap agar syarikat atau badan bukan kerajaan yang lain perlu mencontohi apa yang dilakukan oleh Ketengah dan Muafakat Sejahtera dalam membantu kerajaan negeri meringankan beban rakyat.

 

 


Tag: