• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Ketengah Peruntuk Lebih RM519 Ribu Bantu 118 Usahawan

DUNGUN, 7 Februari – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntuk RM519,500 kepada 118 usahawan pelbagai sektor bagi membantu mereka meningkatkan perniagaan masing-masing.

Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, bantuan tersebut melibatkan empat kategori iaitu program pembangunan usahawan, usahawan mobile luar bandar, sokongan pengukuhan usahawan luar bandar dan insentif usahawan terjejas Covid-19.

Menurutnya, seramai 81 usahawan pelbagai bidang yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 menerima bantuan tersebut bagi meringankan beban ditanggung dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM165,000.

“Sebanyak RM44,100 bantuan pula diberikan kepada lima usahawan terlibat dalam bidang pertanian, penternakan dan pengusaha industri kecil sederhana (IKS) untuk memperkasa produk dan pensijilan barang masing-masing.

“Kita juga memberi peluang kepada masyarakat luar bandar dari B40 yang menunjukkan minat dan kesungguhan untuk menjadikan keusahawanan sebagai sumber pendapatan mereka sekaligus meningkatkan ekonomi keluarga.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Bantuan Usahawan Wilayah Ketengah di Pusat Komuniti Desa, Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Tambahnya lagi, seramai 10 orang penerima bantuan yang terdiri daripada usahawan elektronik, fotografi dan videografi, salon kecantikan, pembuatan makanan, pembaikan gajet, komputer serta alat muzik turut  menerima peruntukan sebanyak RM130,000.

Sementara itu, beliau berkata seramai 466 orang usahawan luar bandar telah mendapat manfaat peningkatan pendapatan melalui pengembangan perniagaan dan perusahaan, pensijilan premis dan produk melalui  Program Pembangunan Keusahawanan Desa menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Ketengah telah menyumbangkan bantuan berjumlah RM9 juta sehingga tahun lepas untuk membantu mereka dalam merealisasikan hasrat KPLB bagi memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat luar Bandar,”ujarnya.