• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KETENGAH Sasar 70,000 Penduduk Terima Vaksin Akhir Ogos


DUNGUN, 18 Julai - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyasarkan 70,000 penduduk  yang layak berdaftar bagi suntikan vaksinasi COVID-19 di wilayah tersebut menerima suntikan lengkap pada akhir  Ogos ini. 

Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris berkata, sehingga 11 Julai 2021, seramai 51953 orang penduduk telah berjaya didaftarkan dan daripada jumlah tersebut, seramai 10,700 telah menerima vaksin di lapan Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Outreach yang dilaksanakan.

“Saya yakin dapat mencapai sasaran tersebut menerusi Program Outreach Vaksinasi Covid-19 yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan kerjasama pihaknya di tiga wilayahnya iaitu Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau PPV Outreach di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi, di sini, semalam. 

Menurutnya lagi, proses vaksinasi di kawasan wilayah Ketengah perlu disegerakan sebelum musim tengkujuh memandangkan lebih 60 peratus kawasan di wilayah tersebut akan dilanda banjir setiap tahun. 

"Bila dah masuk musim tengkujuh, proses untuk vaksinasi akan sukar kerana kita perlu bawa penduduk ke PPV dan susah untuk kita masuk ke kawasan pedalaman," katanya.

Tambah Razali, pihaknya juga mencadangkan Balai Orang Ramai di Bandar Al Muktafi Billah Shah dijadikan sebagai PPV tetap untuk dilaksanakan program suntikan vaksin secara harian. 

"Kita sedia bekerjasama untuk memberikan peralatan dan kelengkapan, dan Kementerian Kesihatan hanya perlu menyediakan petugas serta bekalan vaksin sahaja," katanya.