• 13 Apr 2021 | 1 Ramadhan 1442

KETENGAH Serah 120 Geran Hak Milik Rumah

DUNGUN, 28 Mac – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menyerahkan suratan hak milik (geran) kepada 120 orang pemilik rumah kos rendah melibatkan kos berjumlah RM3,000,000.

Pengerusinya, Dato’ Razali Idris  berkata penyerahan melibatkan penghuni yang telah melangsaikan bayaran harga rumah iaitu Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) 37 orang, Bukit Besi (14), Ketengah Jaya (14), Seri Bandi (27) dan Ceneh Baharu serta Kampung tradisi lima orang.

Katanya, sebanyak 737 buah sahaja lagi yang masih dalam proses pemberian hak milik dan dalam proses penyediaan geran dari semasa ke semasa dari jumlah keseluruhan rumah  iaitu 3940 buah di seluruh wilayah ketengah.

“Ketengah terus berusaha dari semasa ke semasa dalam memastikan sebarang isu berkaitan hak milik dapat diselesaikan dengan segera.

“Dalam penelitian kami, dijangka sehingga akhir September tahun ini, jumlah mereka yang akan memperolehi suratan hak milik ini dijangka akan mencapai 81 peratus, manakala pada tahun 2024 Ketengah dijangka mampu menyelesaikan 90 peratus urusan pemberian hak milik. InsyaAllah,”katanya.

Beliau berkata demikian di Program Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik (Geran) Wilayah Ketengah di Pusat Komuniti Desa (Pkd) Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun di sini hari ini.

Tambah Razali lagi, kerajaan negeri dan jabatan yang berkaitan juga sentiasa berusaha untuk memastikan urusan hak milik diselesaikan dengan kaedah yang terbaik demi kebaikan bersama.

“Ini bertepatan dengan usaha kerajaan untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan luar bandar terpelihara. 

“Adalah diharapkan usaha yang dilaksanakan kerajaan ini dapat membantu penduduk luar bandar hidup dalam keadaan yang lebih selesa dan seterusnya meningkatkan taraf hidup yang merupakan salah satu keutamaan dalam agenda pembangunan Wilayah KETENGAH,” ujarnya.


Tag: