• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Ketengah Tubuh Jawatankuasa Tambah Baik SOP

HULU TERENGGANU, 23 April -Satu jawatankuasa khas ditubuhkan susulan dakwaan kes cabul di dalam rumah bot Tasik Kenyir di sini baru-baru ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Razali Idris berkata, penubuhannya bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pengendalian rumah bot dan bot laju di Tasik Kenyir.

Katanya, walaupun insiden berkenaan di luar kawalan operator rumah bot, penambah baikan SOP perlu dilakukan bagi menghindar sebarang perbuatan jenayah sekali gus menjamin keselamatan pengunjung.

Selain itu Razali berkata, SOP itu juga bertujuan bagi mengelakkan insiden sama berulang pada masa depan.

"Walaupun ia kes terpencil dan pertama kali berlaku sejak saya menjadi Pengerusi Ketengah lebih dua tahun lalu tetapi kami amat mengambil berat.

"Sekiranya (kes cabul) benar berlaku, ia perlu ditangani kerana tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya ketika ditemui pada majlis Kenyir Bermunajat di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini kelmarin.

Tambah beliau, pihaknya juga akan memanggil semua operator rumah bot dan bot laju pada masa terdekat.

"Kita mahu semua operator dan kru rumah bot dan bot laju di Tasik Kenyir bebas daripada sebarang unsur jenayah termasuk penyalahgunaan dadah.

"Begitu pun, Ketengah secara dasarnya menyerahkan siasatan kes cabul itu kepada pihak berkuasa," katanya.

Terdahulu, seorang penceramah bebas ditahan bagi membantu siasatan kes dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun pada bulan lalu.