KUALA TERENGGANU, 4 September - Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitendan Mohd Zain Mat Dris mendahului penerima Pingat Kebesaran Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Keputeraan Sultan Terengganu, hari ini.
Beliau menerima Pingat Jasa Cemerlang (P.J.C.) bersama Ketua Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Terengganu, Deputi Superidentan Abdul Malik Mehat dengan 133 penerima yang lain.
Pada masa yang sama, pelumba basikal Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohd Zamri Salleh turut dikurnia Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K).
Pengurniaan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah, Chendering.
Keberangkatan baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu; Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Puteri Puteri Utama Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja.
Turut hadir menyambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.
Selain dua penerima (P.J.C.), seramai 105 penerima dikurnia Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.), seorang Bintang Lama Berjawatan (B.L.B.) serta 27 penerima Pingat Lama Berjawatan (P.L.B.).