• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ketua Setiausaha Negara, Chef Zam Terima Darjah Kebesaran Terengganu

KUALA TERENGGANU, 13 Februari – Sultan Terengganu, KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (S.S.M.Z.) kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam Istiadat Pengurniaan Gelaran dan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Darul Iman 2021 di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah, Chendering, pagi tadi.

Turut berangkat ke istiadat tersebut yang berlangsung di Istana Sharqiyyah, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mohd Zuki Ali mendahului senarai 24 penerima apabila dianugerahkan Darjah Kebesaran itu yang membawa gelaran Dato' Seri.

Chef Zam menerima pingat daripada Sultan Terengganu

Sementara itu, selebriti masakan, Zamzani Abdul Wahab atau dikenali sebagai Chef Zam serta Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Kasemani Embong dikurniakan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) yang membawa gelaran Dato'.

Turut menyertai senarai penerima tersebut adalah Pelumba basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang dan lima doktor termasuk bekas Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus.

Selain itu, Sultan Mizan turut mengurniakan Darjah Setia Mahkota Terengganu (S.M.T.) kepada Pakar Patologi (Mikrobiologi) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Dr. Fatimah Haslina Abdullah, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Primer)/Ketua Bilik CPRC JKNT Dr. Azmani Wahab, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Dr. Saifur Rahman Muhammad serta Pengarah Hospital Hulu Terengganu, Dr. Mohamad Yurzi Mat Rani @ Ghani.

Dr Kasemani Embong menerima pingat daripada Sultan Terengganu