• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Mohd Zuki Dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu

KUALA TERENGGANU, 30 Julai – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Terengganu hari ini.

Mohd Zuki yang juga merupakan anak jati Kampung Bukit Bayas menganggap bahawa anugerah tersebut merupakan pengiktirafan dan penghormatan terbesar terhadap penjawat awam.

“Saya melahirkan rasa syukur kepada Allah dan merakam junjungan tinggi terhadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di atas penganugerahan ini.

“Apa yang penting, kita perlu menghayati tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia, Pemangkin Kemakmuran,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Terengganu bertempat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan kurnia berupa wang tunai RM20,000, plak, dan sijil penghargaan kepada Mohd Zuki yang dipilih menjadi Tokoh Maal Hijrah negeri.

Sementara itu, Mohd Zuki menyeru orang ramai termasuk agar menghayati konsep tasamuh atau berlapang dada yang merupakan antara teras Keluarga Malaysia.

Jelasnya, sikap bertoleransi merupakan kunci perpaduan yang amat mustahak dalam kehidupan masyarakat majmuk rakyat Malaysia.

 


Tag: