• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Keunikan Lata Air Berani Dilestarikan Bersama

BESUT, 12 September – Inisiatif pelestarian pelancongan diteruskan oleh kerajaan negeri dengan aktiviti gotong-royong demi memelihara kawasan sekitar Lata Air Berani di Pulau Perhentian.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, gotong royong di kawasan kampung dan Lata Air Berani di sini adalah di antara bentuk pelancongan komuniti bersama Pertubuhan Muafakat Sejahtera Terengganu.

"Pembersihan dan penambahbaikan kawasan Lata Air Berani mengambil masa tiga hari. Pada hari terakhir ini, kita akan menyiapkan kerja pembersihan dengan aktiviti bergotong-royong.

"Lata Air Berani adalah salah satu keunikan yang ada di Pulau Perhentian, oleh itu kita hendaklah memastikan kebersihan dan keadaan infrastruktur terjaga," katanya selepas aktiviti tersebut kelmarin.

Turut terlibat, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Besut, Rozali Salleh serta 27 kakitangan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) dan 12 sukarelawan Pertubuhan Sukarelawan Siswa Unisza (PERSIS).

Sementara itu, menurut Rozali, kerja pembersihan di kawasan Lata Air Berani adalah langkah untuk memastikan sumber air mata kekal bersih.

"Air mata ini adalah satu satunya sumber air bersih untuk para nelayan di Pulau Perhentian, keunikannya juga adalah ia tidak pernah putus-putus mengeluarkan air," jelasnya semasa ditanya pemberita.

Selain pembersihan Lata Air, menara tinjau di kawasan tersebut turut dibaiki dan diganti dengan komponen baharu supaya pengunjung dapat menikmati permandangan tanpa masalah keselamatan.


Tag: