• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Keuntungan Anak Syarikat Terengganu Beri Manfaat Pada Rakyat

KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Keuntungan anak syarikat (GLC) Terengganu memberi pelbagai manfaat dalam membantu rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata urus tadbir anak syarikat yang baik akan mampu menterjemahkan Corporate Social Responsibility (CSR) yang lebih banyak kepada masyarakat di negeri ini.

Katanya, Terengganu Inc dan anak-anak syarikat kumpulan telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk insentif. 

“Antaranya Kumpulan Terengganu Inc telah menyumbang RM1 juta bagi penajaan 10 pelajar tempatan daripada keluarga B40 untuk program ‘YT-TI Young Talent Scholarship Programme’.

“RM300,000 telah dilaburkan dalam usaha sama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Islamic Investment Project.

“EPIC Berhad juga telah menyumbangkan sebanyak RM200,000 kepada Yayasan Diraja Sultan Mizan bagi program akademik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya.

Tambah Ahmad Samsuri, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) telah menyumbang sebanyak RM2.06 juta untuk air percuma bagi surau dan masjid seluruh Terengganu.

Selain itu, bagi Program Komuniti Ibu Tunggal di 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) turut menerima sumbangan sebanyak RM600 ribu oleh beberapa anak syarikat Terengganu.

“Jutaan ringgit diberikan melalui penajaan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Terengganu Football Club (TFC), NGO dan agensi lain.

“Kumpulan Terengganu Inc turut aktif memberi sumbangan kepada dalam dan luar negara yang ditimpa bencana.

“Inilah yang saya selalu maksudkan bahawa rakyat akan dapat manfaat apabila anak-anak syarikat peroleh keuntungan, Alhamdulillah," ujarnya.


Tag: