• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Khidmat Malaysia Batu Rakit Buka Pusat Pengumpulan Bantuan Banjir

KUALA NERUS, 23 Disember - Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit turut bersama-sama Kerajaan Terengganu membantu mangsa bencana banjir di Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur dengan mengumpul barangan keperluan harian mulai kelmarin

Ketua Khidmat Malaysia DUN itu, Azuan Azmi, berkata Pusat Pengumpulan Bantuan Banjir bertempat di Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit kini berjaya mengumpul ratusan pek beras, minyak, biskut, bihun dan sardin.

Katanya, kutipan sumbangan wang tunai lebih RM25,000 tanda prihatin penduduk Batu Rakit juga diperolehi selepas dua hari program.

“Pihaknya masih mengalu-alukan orang ramai terutama individu berkemampuan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat turut bersama-sama menghulurkan bantuan.

“Kita mengutamakan barangan keperluan dapur kerana ada pihak yang akan memasak di lokasi berdekatan banjir sebelum diagihkan kepada mangsa.

“Pada masa merayu sumbangan lampin pakai buang, tuala wanita, telekung, sejadah, kain pelikat, kain batik, selimut, tilam dan pelbagai barangan kelengkapan diri,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Menurutnya, orang ramai tidak digalakkan untuk menyumbang pakaian terpakai kerana dibimbangi berlaku lambakan.

“Semua sumbangan itu akan dikumpul di Pusat Pengumpulan Banjir di Batu Enam, di sini sebelum dihantar ke Temerloh dan Lembah Klang, pada Sabtu ini.

“Pihaknya bersama-sama 25 sukarelawan  bergerak mengikut arahan Khidmat Pengurusan Kecemasan & Bencana Malaysia  (Khidmat Malaysia) bagi mengelakkan bersesak-sesak di satu-satu lokasi,”katanya.
.