• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

KHSB, Ketengah Jaya Salur Sumbangan RM250 Ribu Kepada Tabung Darul Iman

KUALA TERENGGANU, 8 Disember- Kumpulan Ketengah Holding Sdn. Bhd. (KHSB) dan Ketengah Jaya Sdn Bhd menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyalurkan sumbangan bernilai RM250,000 kepada Tabung Darul Iman.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KHSB, Mohd. Zaid Sulaiman berkata, pemberian sumbangan hasil keuntungan perniagaan anak-anak syarikat itu bagi membantu meringankan beban rakyat terutamanya yang ditimpa musibah, menghidap penyakit kronik dan yang memerlukan bantuan perubatan.

“Kita serahkan sumbangan sebanyak RM250,000 kepada Tabung Darul Iman untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

“Sumbangan ini merupakan inisiatif CSR kita pada setiap tahun dengan jumlah tertentu mengikut keuntungan yang diperoleh,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyerahan replika cek tersebut oleh Mohd Zaid kepada Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat yang mewakili Tabung Darul Iman.

Turut hadir, Pengerusi KHSB, Mohd Yusof Majid.

Sementara itu, Hanafiah merakamkan ucapan terima kasih kepada KHSB dan Ketengah Jaya Sdn Bhd yang sentiasa prihatin terhadap rakyat yang memerlukan bantuan.

“Semoga Ketengah sentiasa memperoleh keuntungan dan dapat menyalurkan sumbangan kepada lebih ramai lagi selepas ini,” ujarnya.