• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kibar Jalur Gemilang, Bangkitkan Semangat Patriotisme

DUNGUN, 25 Ogos - Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli meminta orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, tempat kerja atau kenderaan bagi menunjukkan rasa cinta terhadap negara.

Katanya, setiap orang perlu menunjukkan semangat dan komitmen tinggi untuk mengibarkan Jalur Gemilang kerana usaha itu menjelaskan rakyat di Malaysia khususnya Terengganu bersatu hati mempertahankan pengisian nikmat kemerdekaan.

"Apa maknanya sambutan Hari Kebangsaan sekiranya tiada kibaran Jalur Gemilang secara meluas dan meriah. Ia adalah ‘roh’ yang menghidupkan suasana dan lambang kecintaan kita kepada negara," katanya.

Beliau yang ditemui ketika program agihan Jalur Gemilang turut menyatakan bahawa tema sambutan ‘Malaysia Prihatin’ harus dijadikan landasan kesedaran bahawa setiap rakyat perlu mengambil berat antara satu sama lain dan bersatu-padu dalam apa jua perkara lebih-lebih lagi apabila seluruh dunia sedang berusaha menentang pandemik COVID-19.

Mengulas lebih lanjut, beliau mengatakan amalan kibar Jalur Gemilang amat penting bagi menyemarakkan sambutan serta menjadi bukti bahawa rakyat di Malaysia cintakan bumi Malaysia.  

"Pemimpin dan rakyat mesti ‘sehati sejiwa’ dalam merealisasikan perkara berkaitan semangat patriotisme ini. Perasaan menyayangi dan mencintai Malaysia akan menjadikan kita lebih kuat dan berdaya tahan dalam mengharungi segala cabaran.

"ia wajar dijadikan prinsip kehidupan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Hakikatnya tema sambutan Hari Kebangsaan kali ini melambangkan semangat kesepaduan, solidariti rakyat tidak kira di mana juga mereka berada," tambahnya.


Tag: