• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kikis Persepsi Terhadap Wanita

KUALA TERENGGANU, 27 Oktober - Masyarakat perlu mengikis persepsi negatif dan prasangka buruk terhadap penglibatan wanita dalam sukan dan rekreasi. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, tanggapan itu perlu dihapuskan kerana ia menjadi virus nilai keagaamaan dalam diri masing-masing.

“Banyak tanggapan buruk yang dilemparkan terhadap Islam terutama dalam soal sukan dan riadah kononnya Islam menyekat wanita dalam bersukan, Islam kolot, terbelakang dan tidak boleh fleksibel serta banyak pantang larang.

“Persepsi ini menyebabkan wanita Islam rendah diri dan mengakui bahawa kaum hawa malu nak menutup aurat ketika bersukan, sebab kononnya kolot dan ketinggalan zaman,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Kejohanan Sukan Wanita Terengganu 2022 (SUKWA) Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), pada hari ini.

Justeru itu, kata Zuraida, program pada hari ini membuktikan bahawa gambaran masyarakat adalah silap dan Islam tidak melarang sama sekali bersukan malah menggalakkan umatnya samaada lelaki dan wanita untuk beriadah.

“Betapa pentingnya bersukan dalam kehidupan seharian dan kita tahu manfaat bersukan dapat meningkatkan kesihatan malah secara tidak langsung dapat meningkatkan kecantikan kaum wanita.

“Kita sebagai wanita perlu merasa bangga dengan diri kita dapat bersukan seperti orang lain tapi kita bersukan dengan akhalak dan muamalat yang diredhai oleh Allah.

“Tanam dalam hati bersukan itu ibadat dan sepanjang hari kita berada disini insya Allah medapat keberkatan serta keredaan Allah,” ujar beliau.

Menurut Zuraida, SUKWA menjadi platform terbuka kepada semua wanita Terengganu untuk menyertai sukan yang mereka minati.

“Platform sebegini diharap dapat menjadi contoh kepada pelaksanaan Sukan Patuh Syariah di negeri Terengganu.

“Semoga peserta semua dapat pengalaman yang berguna sepanjang program berlangsung,” tambah beliau lagi.

 Beliau menambah, Dasar Wanita Terengganu yang di lancarkan baru-baru ini bermatlamat meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang sukan dan pencapaian mereka dalam mengembangkan potensi minat serta bakat supaya boleh menyumbang kepada aktiviti masyarakat.


Tag: