• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Kit Pengurusan Jenazah Percuma Buat Warga Buluh Gading

KUALA NERUS, 30 Januari - Melihat kepada kos pengurusan kematian yang tinggi dewasa ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim mengambil inisiatif proaktif dalam menyediakan kit pengurusan jenazah percuma bagi meringankan beban masyarakat Islam setempat.

Katanya, pihaknya amat memahami kos-kos berkaitan dalam pengurusan satu-satu kematian memakan sejumlah wang yang banyak.

“Oleh itu, kita telah putuskan untuk membekalkan perkakasan pengurusan jenazah secara percuma di Buluh Gading bermula pada tahun ini,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Kit Pengurusan Jenazah peringkat DUN beliau, baru-baru ini.

Jelas beliau, set tersebut keperluan asas seperti kapas, kain kafan, setanggi, kapur barus dan air mawar yang digunakan untuk proses kafan jenazah dan kos setiap kit ini dianggarkan bernilai sekitar RM70.

“Tidak kira apa golongan sekalipun, B40 atau M40, miskin ataupun kaya, semua peringkat masyarakat kita akan usahakan.

“Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan sedikit beban kewangan dan memudahkan urusan keluarga si mati,” tambahnya lagi.

Ridzuan juga menyarankan agar setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dapat menubuhkan badan khairat kematian dalam kampung masing-masing.

“Dengan penubuhan tersebut, ia cukup memberi kesan positif kepada setiap penduduk kampung serta merapatkan ukhuwah antara satu sama lain.

“Dengan adanya badan khairat kematian, pembiayaan pengurusan setiap kematian akan dapat ditampung dan peserta pula akan berpeluang untuk mendapat duit sumbangan,” jelasnya.