• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KKM Sekat Status MySejahtera Pemilik Sijil Vaksinasi Palsu

KUALA TERENGGANU, 20 Januari – Kementerian Kesihatan (KKM) kini menyekat status MySejahtera lebih 1,000 individu yang dikesan mendapatkan sijil digital vaksinasi tidak sah dari sebuah klinik swasta di Marang.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, sekatan itu dibuat bagi membolehkan pihak KKM menjalankan siasatan terhadap aplikasi MySejahtera mereka bagi mengesahkan ketulenan status vaksinasi. selepas pihaknya mendapati kesemua 1,223 daripada 1,900 yang terbabit tidak pernah menerima suntikan vaksin Covid-19

"Dokumen yang berkaitan telah dihantar kepada pihak vendor untuk dikemas kini status MySejahtera masing-masing  dan daripada jumlah itu, kita tidak pasti berapa ramai yang sudah siap atau dikemas kini MySejahtera mereka dan ia akan dimaklumkan pihak KKM kelak.

“Dalam masa yang sama, seramai 23 individu yang berurusan dengan klinik tersebut juga membuat akuan bahawa tidak menerima vaksin walaupun status MySejahtera sudah merekod penerimaan vaksinasi.

"Mereka juga mengaku ada mengambil suntikan tetapi sebenarnya adalah suntikan air suling atau garam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, pihaknya turut dimaklumkan sesetengah jabatan telah memanggil kakitangan mereka yang disyaki terlibat dalam pemalsuan sijil vaksinasi untuk siasatan dalaman

Terdahulu, polis menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu di Marang.

Suspek yang ditahan pada 8 Januari lalu dipercayai melakukan perbuatan itu selepas premisnya diberikan kebenaran mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar sejak September tahun lalu.