• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KMI Healthcare Catat Pendapatan RM78.1 Juta

KUANTAN, 4 Disember -Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) iaitu anak syarikat TDM Bhd, mencatatkan pendapatan sebanyak RM78.1 juta pada suku ketiga 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr Rayney Azmi Ali berkata peningkatan 38 peratus berbanding RM56.4 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Katanya, pelbagai faktor turut menyumbang kepada rekod berkenaan antaranya penggunaan katil dan pemilikan insurans.

“Ini merupakan satu pencapaian untuk ‘Healthcare' iaitu bahagian penjagaan kesihatan apabila berjaya merekodkan pendapatan sedemikian.

“Antara punca peningkatan tersebut adalah kedatangan pesakit luar dan penggunaan katil sehingga 60 peratus pada suku ketiga,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun KMI Kuantan Medical Centre (KMI Kuantan) dan Penganugerahan Akreditasi Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) bertempat di Teluk Chempedak, Pahang semalam.

Turut hadir, Pengerusi TDM Bhd, Tengku Seri Bijaya Raja.

Dr Rayney turut memaklumkan bahawa pembinaan hospital baharu di Kemaman, Terengganu dijangka akan bermula pada tahun hadapan.

“Ianya menjadikannya tambahan kepada lima hospital sedia ada yang diuruskan oleh KMI Healthcare ketika ini.

“KMI Kuantan, KMI Healthcare menguruskan empat hospital iaitu KMI Kuala Terengganu (Terengganu), KMI Kelana Jaya (Selangor), KMI Taman Desa (Kuala Lumpur) dan KMI Tawau (Sabah),” katanya.

Sementara itu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata KMI Kuantan akan meningkatkan perkhidmatannya dengan menambah kepakaran selain membina bangunan tambahan.

Beliau berkata, bangunan yang melibatkan anggaran kos sebanyak RM100 juta itu akan didirikan di tanah berkeluasan 1.01 hektar dan penambahan 80 katil pesakit dan kemudahan tempat parking kenderaan.

 

 

 


Tag: