• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KMI Healthcare Lancar Hospital Pakar Ke-5 di Tawau

KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare” atau KMI)bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad (TDM) terkini melancarkan KMI Tawau Medical Centre (KMI Tawau), hospital swasta yang terbaharu di Tawau, Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah merangkap Pengerusi KMI Tawau, Dr. Aliakbar Gulasan berkata terdahulu pengambilalihan Tawau Specialist Hospital telah selesai sepenuhnya pada Mei 2022, dan telah dijenamakan semula kepada KMI Tawau Medical Centre. 

Katanya, ia melibatkan pembinaan bangunan lima tingkat baharu dengan tambahan 52 katil dan peningkatan kemudahan berjumlah RM10 juta

"Dengan rangkaian lima hospital di bawah jenama KMI Healthcare, ia sudah tentu memberi nilai tambah dalam menyediakan perkhidmatan yang sistematik dan meniru kejayaan yang dicapai oleh hospital lain di bawah KMI sebagai pemangkin dalam membentuk pengurusan terbaik untuk hospital KMI Tawau.

“Perkhidmatan Pesakit Antarabangsa (International Patient Service) akan menjadi agenda seterusnya bagi KMI Tawau sebaik sahaja bangunan baharu siap," katanya ketika merasmikan pelancaran hospital berkenaan.

Tambahnya, susulan pengambilalihan itu, pembangunan sebuah lagi bangunan enam tingkat akan meningkatkan kapasiti kepada 59 katil, yang dijangka siap menjelang suku ke-empat 2024.

"Idea kreatif dan inovatif serta keberanian mencuba sesuatu yang baharu telah memberi pilihan kepada pelanggan untuk menikmati perkhidmatan kesihatan terbaik yang mereka inginkan.

"Pembaharuan ini juga penting untuk memastikan daya saing negara terutamanya dalam usaha kita mempromosikan industri pelancongan kesihatan atau Health Tourism," ujarnya lagi.

Antara disiplin dan kemudahan perubatan yang ditawarkan ialah Perubatan Am, Pembedahan Am, Obstetrik & Ginekologi, Ortopedik, Pediatrik, Anestesia,Otorinolaringologi, Radiologi, Perkhidmatan Kecemasan 24 jam, Makmal, Farmasi, Pengimejan Diagnostik: Imbasan CT, Mamogram Digital, Pemeriksaan Ultrasound dan X-ray am.

Sementara itu, Pengurus Besar KMI Tawau, Zainulalim Samsudin berkata usaha menaik taraf kemudahan di KMI Tawau bagi meningkatkan kepuasan dalam pengalaman pesakit sedang dijalankan.

"Ini termasuk migrasi sistem maklumat hospital(HIS), pembelian beberapa peralatan perubatan termasuk MRI, CT-scan serta C-arm dan Autoklaf yang akan digunakan untuk pembedahan dengan kosnya yang berjumlah RM10 juta,” jelas beliau.