• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KMI Healthcare Yakin Peroleh Pendapatan RM220 Juta

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober -  Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) milik TDM Berhad yakin mampu meningkatkan jumlah pendapatan hasil rangkaian lima hospital sebaik Terengganu beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula hari ini.

Sumber kewangan KMI Healthcare dijangka meningkat kepada RM220 juta sehingga akhir Disember tahun ini berbanding RM200 juta tahun sebelumnya.

Pendapatan diperoleh hasil pengurusan lima hospital pakar komuniti iaitu Kelana Jaya Medical Centre di Petaling Jaya, Selangor; KMI Kuantan Medical Centre Kuantan, Pahang; KMI Kuala Terengganu Medical Centre, Kuala Terengganu; KMI Taman Desa Medical Centre di Kuala Lumpur dan  KMI Tawau Medical Centre di Tawau, Sabah.

Pengerusi KMI Healthcare, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, sumber kewangan KMI Healthcare akan terus meningkat apabila perancangan pembinaan hospital swasta terbaru bakal terlaksana pada  pertengahan tahun depan bertempat di Kampung Jaya, Chukai, Kemaman mambabitkan peruntukan RM100 juta.

Katanya, hospital terbaru milik KMI Healthcare di kawasan seluas 5.4 ekar dan dijangka beroperasi pada 2025 itu lengkap dengan 100 katil dan mampu berkembang menjadi 200 katil pada masa akan datang.


“Pihak kami memilih Kemaman sebagai lokasi terbaru bagi memudahkan pesakit mendapatkan rawatan terbaik dengan lebih dekat di mana sebelum ini mereka terpaksa ke KMI Kuala Terengganu Medical Centre, Kuala Terengganu dan KMI Kuantan Medical Centre Kuantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KMI Chukai Medical Centre Sdn Bhd (KMI Chukai) dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disaksikan Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Dato’ Idris.

 


Tag: