• 18 Mei 2024 | 10 Zulkaedah 1445

KMI Kuantan Terima Anugerah SOHELP DOSH

KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - KMI Kuantan Medical Centre (KMI Kuantan) telah dianugerahkan tempat pertama bagi Tempat Kerja SOHELP (Systematic Occupational Health EnhancementLevel Programme) DIY Terbaik (Kategori 3). 

Majlis penganugerahan telah berlangsung di Konvensyen SOHELP DIY Kebangsaan bertempat di IDCC, Shah Alam, Selangor.

Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Ts. Mustapha Sakmud. 

Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan KMI Kuantan, Mohd Nashriqbin Ismail yang juga Enabler kepada SOHELP DIY telah dijemput untuk menyampaikan pembentangan dan mewakili KMI Kuantan Medical Centre bagi menerima anugerah tersebut.

SOHELP telah diperkenalkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) atau DOSH dalam usaha untuk meningkatkan tahap pengurusan higien industri di tempat kerja terutamanya dalam aspek kawalan pendedahan bunyi bising, pengurusan bahan kimia dan ergonomik.

KMI Kuantan telah mengambil langkah penambahbaikan dalam menguruskan beban untuk mengelakkan masalah ergonomik kepada pekerja.

Kawasan bunyi bising berlebihan dikenalpasti seterusnya langkah kawalan diambil untuk memastikan pekerja tidak terdedah kepada bunyi bising. 

Mengelakkan pendedahan bahan kimia kepada pekerja dengan mengambil kira kawalan kejuruteraan antara usaha yang dilakukan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di hospital sehingga berjaya memenangi anugerah tersebut.

KMI Kuantan salah satu di antara lima buah hospital dibawah rangkaian Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad.

Sejak penubuhannya pada 1996, KMI Kuantan telah berkembang pesat menjadi hospital pakar mesra komuniti yang menawarkan perkhidmatan rawatan dan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dengan kapasiti 176 katil serta kini lengkap dengan akreditasi MSQH.

Jumlah tersebut bakal ditambah melalui pembinaan sayap baharu yang akan menempatkan 80 katil tambahan serta fasiliti lain yang lebih moden dan canggih.